Thursday, May 28, 2009

Menangani Masalah Asmara Cinta


Tamadun barat banyak mempengaruhi dunia Islam khususnya semenjak kejatuhan empayar Islam Turki Uthmaniyah. Disebabkan kelemahan umat Islam di dalam pelbagai bidang termasuklah keilmuan, politik, pemikiran dan budaya maka kelemahan ini menjadikan masyarakat Islam seumpama vakum yang menyerap masuk segala debu-debu dan kotoran disebabkan kekosongan dan kebuntuan.

 

Politik yang kacau bilau yang dicetuskan di dalam era kejatuhan Islam di seluruh dunia bermula Turki, fasa taklid dan kejahilan agama yang dahsyat, lemah semangat dan kurang keyakinan yang parah terhadap agama menjadikan masyarakat mula mengkagumi kemodenan, kemewahan dan kehebatan kuffar yang tecerna di dalam tamadun dan budaya eropah di abad ke 19 sebelum ini.

 

Satu demi satu, budaya dan aneka ragam penghasilan barat di bawa masuk baik yang material seperti teknologi sehinggalah kepada pemakaian dan sikap serta tingkahlaku.

 

Memakai sudu dan garfu, memakai tali leher di tengkuk, sehinggalah kepada perhubungan dan perasaan fitrah seorang manusia akhirnya dipandu oleh pemikiran dan berdasarkan budaya barat.

 

Dahulu, seorang gadis di tanah melayu hanyalah mengenali cinta melalui perkahwinan, di negara-negara Islam dan kawasan jajahannya sejak sekian lama gadis dan lelaki di asingkan semenjak baligh kini sudah mula bercampuran dan mula bergaul dan menikmati kemanisan cinta tanpa perkahwinan.